Peserta solidariti untuk Zara kecewa himpunan ditunggang jadi medan politik
Rentetan daripada Himpunan Solidariti #JusticeForZara di hadapan kompleks beli-belah Sogo semalam, banyak kekecewaan diluahkan para peserta yang mendakwa pentas himpunan telah ditunggang sekumpulan ahli politik dan dijadikan medan politik.
Himpunan malam tadi turut mendapati sebahagian peserta beredar dari lokasi sebaik sahaja ucapan yang disampaikan beberapa individu mula berunsurkan politik.
Malah, seorang bekas guru menerusi hantaran di media sosial turut menyuarakan kekecewaan sama dan berharap himpunan itu mengekalkan semangat solidariti tanpa dipengaruhi kepentingan lain.
Aktivis yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh, menegur penganjur agar mengekalkan fokus kepada isu utama iaitu kes buli dan tuntutan keadilan buat arwah Zara serta mangsa lain.
“Bila anjurkan himpunan terbuka kepada awam, fokus pada point utama iaitu perihal buli, perihal keadilan yang dinafi, perihal yang berkait dengan isu arwah sahaja. Tak perlu selit point politik. Jangan selit langsung!
“Nak selit ucapan politik, buat himpunan tertutup untuk ahli parti dan penyokong sahaja.
“Jika ajak orang turun ke himpunan awam, bawa tajuk Justice for Zara, tapi selit ucapan politik memang sangat tak sesuai, sangat tak patut. Dan jangan marah jika orang gelar kalian penunggang isu,” katanya.
Katanya, himpunan di Sogo malam tadi bermula baik dengan bacaan Yasin dan disusuli doa. Namun tidak lama selepas itu mula selit tentang isu lain iaitu isu politik.
“Buat himpunan tu biarlah niat betul-betul untuk keadilan buat arwah adik Zara, arwah adik Faris dan mangsa-mangsa lain yang masih ternafi keadilan untuk mereka,” katanya.
Ramai juga pengguna media sosial meluahkan kekecewaan, termasuk mereka yang mengikuti perkembangan himpunan melalui siaran langsung.
Mereka mendakwa himpunan di hadapan Sogo seperti sudah tidak berfokus kepada isu keadilan untuk arwah Zara.
“Semalam tengok siaran langsung himpunan depan Sogo macam tak fokus justice for Zara. Tak payah lah panggil orang-orang yang sama naik berucap. Saya sokong dari live TikTok tapi bila dengar isu lain ditimbulkan saya keluar,” kata Ain Mayra.
“Setuju! Saya pun memang nak bersuara sebab saya sedih, kecewa, tak puas hati sangat. Seorang rakyat Sabah yang hadir semalam dengan niat menuntut kebenaran dan keadilan kes arwah adik Zara rasa dibuli mental dan perasaan.
“Saya saja bertahan nak tengok apa kesudahan solidariti tu semalam, and yes! Part akhir tu baru nak menampakkan seolah olah dia orang prihatin topik asal, ajak yang hadir on lampu handphone, pasang lagu viral #JusticeForZara Kenapa lah pihak penganjur tiada empati and sensitiviti?,” soal Ayien pula.
BACA JJGA Terkini Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ambil alih siasatan kes anak Rafizi