Zahid bersuara kes pegawai kanan tentera jadi dalang sindiket penyeludupan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada anggota dan pegawai pasukan pertahanan agar tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk melanggar undang-undang negara.
Beliau berkata, penyalahgunaan kuasa perlu dihentikan kerana ia melibatkan imej pasukan keselamatan serta pertahanan negara yang mesti dipertahankan.
Beliau berharap kes pegawai kanan tentera yang ditahan kerana menjadi dalang penyeludupan dijadikan pengajaran kepada pasukan penguat kuasa yang lain.
“Saya harap ini jadi satu pengajaran mahal untuk yang lain-lain, apa juga pasukan penguat kuasa supaya tidak melakukan kerja yang sama ataupun kerja-kerja berlainan dengan tujuan yang sama,” katanya menurut Bernama.
Rabu lepas dilaporkan 10 individu termasuk pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun, serta seorang warga Indonesia ditahan sekitar Lembah Klang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Skuad Taktikal Antirasuah.
Serbuan selepas risikan selama setahun itu membawa kepada rampasan wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan.
BACA JUGA Peserta solidariti untuk Zara kecewa himpunan ditunggang jadi medan politik