Kertas siasatan kes Zara Qairina dirujuk semula ke AGC esok
Polis memaklumkan kertas siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula ke pejabat Peguam Negara pada esok.
Ia untuk mendapatkan nasihat dan arahan setelah tindakan siasatan lanjut dilaksanakan oleh pasukan khas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, setakat ini seramai 195 orang saksi telah dirakam percakapan di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah melibatkan saksi pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan lain-lain saksi yang material kepada siasatan.
Setakat ini siasatan polis memfokuskan dua elemen penting iaitu siasatan dari aspek inkues dan siasatan dari aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu.
Pihak polis menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.
Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa proses siasatan yang dilaksanakan adalah secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
BACA JUGA Zahid bersuara kes pegawai kanan tentera jadi dalang sindiket penyeludupan