Shahelmey bakal pertahan Tanjung Keramat atas tiket GRS tapi…
Timbalan Ketua Menteri III Sabah Shahelmey Yahya merangkap Adun Tanjung Keramat akan mempertahankan kerusinya di bawah tiket GRS di dalam pilihan raya negeri ke-17. Perkara ini disahkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Shahelmey juga Ahli Parlimen Putatan atas tiket BN.
“Dia akan ikut ‘siurang’ (kami),” katanya semalam, ketika ditanya kedudukan Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat yang ketika ini dianggap masih bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas digantung keahliannya selama enam tahun sejak 2023 itu.
‘Siurang’ yang disebut Hajiji dipercayai merujuk kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah itu.
“Apa sukar..’tatap’ menang punya, dia lagi ADUN, dia lagi Ahli Parlimen,” Hajiji menyatakan keyakinannya.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin telah berulang kali menyatakan keengganannya mencalonkan Shahelmey berikutan tindakan Shahelmey menyokong Hajiji dan GRS ketika Umno Sabah menarik diri dari kerjasama dengan GRS pada Januari 2023.
Bung ialah Ahli Parlimen Kinabatangan dan Adun Lamag.
Pada masa sama Shahelmey berdepan risiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Putatan jika bertanding di atas tiket GRS kerana kerusi tersebut dimenangi atas tiket BN.
Ekoran sokongan Shahelmey kepada GRS, beliau telah digantung oleh Umno selama enam tahun.
Sidang DUN Sabah akan tamat dalam bulan November.
BACA JUGA: Budak ni buat perangai, dia langsung tak hormat keputusan Majlis Tertinggi