Inkues kematian Zara Qairina ditetapkan selama 19 hari

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina Mahathir akan bermula pada 3 September.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Hakim Azreena Aziz yang bersidang sebagai koroner menetapkan 19 hari tempoh bersidang iaitu masing-masing pada 3 hingga 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, dan 22 hingga 30 September sebagai tarikh prosiding inkues.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari memberitahu setakat ini seramai 195 saksi sudah diambil keterangan namun akan dikurangkan jumlahnya untuk dipanggil dalam inkues. Fairus mengetuai pasukan pengendali inkues.

Pasukan tersebut turut dianggotai Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.

Barisan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45, diketuai Hamid Ismail bersama Shahlan Jufri, Rizwandean bin M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin turut menjadi pemerhati pada sebutan inkues berkenaan.

Zara Qairina, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada keesokannya harinya.

BACA JUGA: Nasib Pendang mahu bertumbuk di luar Dewan Rakyat bakal ditentukan hari ini