Bukan KL punca masalah, kepala pak aji yang bermasalah – Mahfuz kepada Hadi

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menuduh Kuala Lumpur sebagai punca masalah negara kerana ada PH dan DAP, sebagai politik sempit serta dalih murahan untuk menutup kelemahan sendiri.

Beliau berkata, Kuala Lumpur adalah simbol kepelbagaian, kemajuan, pusat awal pentadbiran negara selepas merdeka, dan nadi ekonomi yang menggerakkan seluruh Malaysia.

Justeru, menyalahkan Kuala Lumpur bererti menyalahkan jutaan rakyat termasuk anak-anak dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan negeri lain yang mencari rezeki di ibu kota.

“Hakikatnya, punca masalah negara datang daripada kegagalan kepimpinan yang menolak politik berasaskan dasar dan idea.

“Pas memilih jalan mudah menuduh bandar, menyemai kebencian desa terhadap kota sedangkan ketika mereka berada dalam kerajaan, Kuala Lumpur jugalah yang menjadi pusat kuasa mereka.

“Kepala Pak Haji yang bermasalah bukan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata tuduhan terhadap Kuala Lumpur itu sebenarnya adalah tuduhan ke atas Kerajaan Madani dan Perdana Menteri.

“Inilah wajah sebenar Pas. Mereka tidak mampu berdepan dengan hujah dan dasar, lalu dipilihnya retorik menyalahkan tempat dan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata, cukup-cukuplah Pas dengan politik lapuk menyemai kebencian kerana Malaysia memerlukan politik matang, bukan politik menuding jari.

Katanya lagi, rakyat tidak mahu lagi politik menyalahkan, sebaliknya mahu penyelesaian.

“Jika Pas benar-benar serius mahu menyelamatkan negara, buktikan dengan dasar yang lebih baik, bukan dengan melempar fitnah kepada Kuala Lumpur. Tolong buang masaalah dalam kepala Pak Haji,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Kes Zara Qairina: Tiada usaha menutup atau melewatkan kes polis