Jangan kerana nak popular, sanggup jadi punca sengketa

AMANAH menasihatkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh agar menghentikan pendekatan perkauman untuk mempopularkan diri kerana ia hanya merosakkan reputasi diri sendiri dan parti yang diwakili.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, pendekatan yang diambil oleh Dr Akmal untuk mempopularkan diri melalui pendekatan perkauman sudah lama ketinggalan zaman

Ia katanya sudah tidak relevan lagi ketika semua pihak sedang berusaha untuk hidup dan membangunkan negara bersama dalam suasana aman damai serta bersatu padu.

“Kita bangga, peristiwa hitam seperti Mei 13 telah 56 tahun berlalu tanpa adanya ulangan walaupun telah muncul ‘hero-hero jadian’ seperti Dr Akmal, yang cuba mengapi-apikan semangat perkauman sempit.

“Mereka semua telah gagal kerana rakyat mendambakan perpaduan dan kestabilan.

“Walaupun masih ada segelintir yang bersikap ‘samseng jalanan’ seperti MP Pendang, kebanyakan rakyat tidak melihat ada manfaatnya mencetuskan perbalahan, sama ada antara kaum atau antara agama,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Khalid mengingatkan Akmal supaya tidak menjadi penghalang kepada penyatuan rakyat hanya kerana mahukan populariti.

“Jangan oleh kerana kita inginkan populariti diri, kita sanggup menjadi penghalang kepada penyatuan rakyat dan menjerumuskan negara dalam perbalahan serta sengketa bodoh yang tidak menguntungkan sesiapa.

“Oleh itu, AMANAH mencadangkan kepada Dr Akmal agar menyedari perkara ini dan hentikanlah pendekatan perkauman untuk mempopularkan diri kerana ia hanya merosakkan reputasi diri sendiri dan parti yang diwakili.

“Keluarlah dari bawah tempurung perkauman yang telah lama lusuh dan reput ditelan zaman,” tambahnya.

BACA JUGA Nasihat untuk Akmal Saleh dan Howard Lee