Terkini 5 remaja disyaki ugut, ancam Zara Qairina akan didakwa Rabu ini

.Lima remaja perempuan disyaki telah mengugut dan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Kesemua mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu Rabu ini, menurut laporan media tempatan.

Ia turut disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan kesemua mereka akan didakwa bagi kesalahan membuli.

Memetik BH Online, kelima-lima remaja berkenaan berdepan pertuduhan telah menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.

Seksyen berkenaan menyebut, sesiapa dengan apa cara atau melalui apa-apa kaedah, menggunakan atau membuat ugutan dengan mengeluarkan perkataan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan, atau melakukan apa-apa perbuatan yang mengancam, menghina atau mengaibkan.

Selain itu, perkataan, komunikasi atau perbuatan itu didengar, dilihat atau sebaliknya disedari oleh seseorang yang berkemungkinan berasa diganggu, tertekan, takut atau cemas akibat daripada itu, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.

BACA JUGA Jangan kerana nak popular, sanggup jadi punca sengketa