Isu TH: Menteri Agama dedah 23 syarikat bukan Bumiputera dilantik zaman PN

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mendedahkan, sebanyak 23 syarikat bukan Bumiputera telah dianugerahkan kontrak untuk menguruskan pelbagai projek Tabung Haji ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir kerajaan.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berterusan mengasak soalan, mengapa kontrak penjenamaan semula Tabung Haji diberikan kepada syarikat bukan Bumiputera.

Mohd Na’im kemudian menjawab bahawa pemberian kontrak kepada syarikat bukan Bumiputera juga telah berlaku sewaktu MP Pas itu menjadi Timbalan Menteri Agama.

Pendedahan beliau itu membuatkan Marzuk berterusan mencelah perbahasan menteri.

“23 syarikat bukan Muslim dipilih ketika Pengkalan Chepa jadi Timbalan Menteri Agama. Dalam isu pemilihan syarikat bukan Islam itu, ia telah berlaku pada zaman sebelum ini juga,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan konsortium atau sesebuah syarikat luar telah melalui proses yang ketat sebelum diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah.

Dalam sesi sama, beliau menafikan tuduhan bahawa TH membelanjakan RM20 juta untuk penjenamaan semula. Katanya, jumlah sebenar hanyalah RM2 juta setahun untuk tempoh 3 tahun (RM6 juta keseluruhan).

BACA JUGA Terkini 5 remaja disyaki ugut, ancam Zara Qairina akan didakwa Rabu ini