Anwar adakan pertemuan dengan Pengerusi BN, GRS
Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor di Pejabat Perdana Menteri semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan itu mencerminkan kematangan politik serta iltizam untuk memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
“Saya percaya bahawa kestabilan politik adalah asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, kerjasama erat antara pemimpin negeri dan persekutuan amat penting dalam memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Dalam masa sama, PMX yang juga Menteri Kewangan berharap semangat muafakat tersebut akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua.
Kerajaan Perpaduan mempunyai 153 daripada 222 kerusi Parlimen, berdasarkan perkongsian kerusi dari parti-parti yang membentuk gabungan tersebut.
PH mempunyai 81 kerusi Parlimen diikuti BN (30), GPS (23), GRS (6), Warisan (3), PBM (1) dan Bebas lapan kerusi.
BACA JUGA Isu TH: Menteri Agama dedah 23 syarikat bukan Bumiputera dilantik zaman PN