‘Geng mesin basuh’ mesti perjelas perkara sebenar kepada pengikut

Peguam Liyana Marzuki menggesa pihak yang mendakwa kononnya pelajar Zara Qairina Mahathir, 13, dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk menjelaskan perkara sebenar kepada pengikut mereka.

Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara itu berkata, adakalanya wujud titik buta dan khilaf dalam semangat untuk berjuang.

“Makanya, geng mesin basuh hari tu, kalau sedar dah tersilap, eloklah diumumkan penemuan fakta ini.

“Cerita mesin basuh tu fake news. Rekaan seorang Cikgu untuk konten. Peguam keluarga pun dah sahkan ia tak benar.

“Jadi, kalau betul pejuang keadilan, naikkanlah posting anda. Terangkan kepada follower cerita duduk sebenar,” kata beliau.

Semalam, Saifuddin Nasution menegaskan keadilan dan kebenaran dalam kes kematian Zara Qairina perlu berdasarkan fakta dan proses undang-undang yang sah, bukannya kenyataan separuh masak, tuduhan rambang atau sentimen emosi semata-mata.

Beliau menyifatkan video yang tular kononnya penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah itu mati akibat didera dalam mesin basuh, sebagai bentuk dakwaan jahat.

Malah, katanya, selepas penahanan seorang guru Bahasa Inggeris yang memuat naik video kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga tular, pendidik itu mengakui ia cuma kandungan.

Saifuddin berkata, hasil siasatan membabitkan 195 saksi yang dipanggil juga mendapati kematian pelajar Tingkatan 1 juga tidak mempunyai kaitan dengan cucu Yang Dipertua Negeri Sabah atau kedudukan pengetua sekolah selaku isteri menteri seperti didakwa sesetengah pihak.

Mengulas lanjut, Liyana berkata, kegagalan menjelaskan perkara sebenar berkaitan kes Zara akan mendatangkan fitnah kepada arwah dan pelaku sebenar.

“Tapi kalau sejenis geng lapar sohor, mana ada hati perut. Dia akan buat dek sahaja. Dia akan spin ke lain pula.

“Maka, wajiblah dinerakakan oleh nurtizen se-Malaysia. Namun, pohon berbudi bahasa. Jangan jadi pembuli pula,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Tuduh menteri ‘kencing’ kes Zara, guru pembangkang ini digesa dikenakan tindakan