Lagi projek mega Kedah gagal, Sanusi jangan gopoh umum benda tak pasti
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor digesa untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan projek pembangunan sistem pengangkutan rel kereta api laju di Pulau Langkawi dan tidak lagi mengumumkan pelaburan yang belum pasti boleh dilaksanakan.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, di bawah pimpinan Pas, negeri Kedah telah menyaksikan banyak projek mega gagal dilaksanakan termasuklah projek Langkasuka yang dikatakan bernilai RM40 bilion, selepas syarikat Bin Zayed International dari Dubai mengumumkan penarikan diri.
Begitu juga kumpulan Al-Bukhary yang menjauhkan diri daripada projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
“Apabila pelaburan besar tidak terlaksana kerana pelabur tiada keyakinan, ini telah menjejaskan imej Kedah.
“Hakikatnya, majoriti pelaburan ke dalam Kedah berlaku di Kulim Hi-Tech Park, yang diterajui oleh agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Jika tiada Kulim Hi-Tech Park, ekonomi negeri Kedah boleh lumpuh kerana kerajaan negeri tidak mampu untuk memacu hub perindustrian berskala besar di luar Kulim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu projek pembangunan sistem pengangkutan rel kereta api laju menggunakan teknologi maglev di Pulau Langkawi tidak diteruskan selepas pelabur dari Korea memutuskan untuk tidak melaksanakan pelaburan tersebut.
Exco Haim Hilman berkata, kerajaan negeri telah bersetuju bahawa pelaksanaan projek berimpak besar seperti maglev tidak perlu dilakukan terlalu awal kerana ia mungkin tidak memberi manfaat kepada semua pihak.
Faiz berkata, jika projek-projek di bawah penyeliaan Kerajaan Madani seperti Kulim Hi-Tech Park dan Kedah Rubber City boleh berjaya, mengapa berlaku penarikan diri pelabur daripada projek yang diumumkan oleh kerajaan negeri.
Persoalan juga timbul sama ada kerajaan negeri gopoh mengumumkan sesuatu projek dan adakah kaji selidik atau “due diligence” berhubung potensi projek berkenaan dan kebolehlaksanaan telah dibuat secara teliti.
“Misalnya, projek LRT Langkawi dan Langkasuka. Sepatutnya, Langkawi terlebih dahulu sediakan infrastruktur, tarikan dan hub komersial sebelum kerajaan negeri mengumumkan projek bernilai berbilion ringgit.
“Jelas, corak pentadbiran Pas ini menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk mentadbir dengan baik.
“Ketidakmampuan ini meletakkan Pas tidak layak menyamakan perjuangan mereka dengan tuntutan Islam berkaitan karektor sebuah negara yang makmur (baldatun thayyibatun),” ujarnya.
BACA JUGA ‘Geng mesin basuh’ mesti perjelas perkara sebenar kepada pengikut