Buli di sekolah atau talian sama sekali tidak boleh diterima, kata Suhakam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa orang awam, terutamanya pihak media untuk melaksanakan tanggungjawab berhubung penglibatan lima kanak-kanak dalam kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Menerusi kenyataan hari ini, Suhakam mengingatkan bahawa kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang adil.
“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung.
“Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri
mereka tidak boleh didedahkan kepada umum,” menurut Suhakam.
Jelasnya, Seksyen 15 Akta 611 tersebut memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
Hukuman termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam masa sama, Suhakam menhyatakan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611.
“Hanya pihak yang terlibat secara langsung dibenarkan hadir. Privasi kanak-kanak mesti
dihormati.
“Fokus utama Suhakam adalah untuk mencegah daripada berlakunya stigma terhadap kanakkanak yang terlibat.
“Kami ingin mengingatkan orang awam bahawa perbuatan membuli, sama ada di sekolah mahupun dalam talian, sama sekali tidak boleh diterima,” tegas Suhakam.
BACA JUGA ‘Geng mesin basuh’ mesti perjelas perkara sebenar kepada pengikut