Perolehan Black Hawk, pesawat pejuang ditentukan Jawatankuasa Teknikal TUDM

Jawatankuasa Teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memutuskan sebarang perkara berkaitan perolehan aset pertahanan udara negara, sama ada helikopter Black Hawk atau pesawat pejuang F/A-18.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa mengikut dasar yang diamalkan kerajaan, pembelian berkenaan tidak akan ditandatangani jika penjelasan perolehan pesawat itu tidak dapat dipertahankan TUDM.

“Soal sama ada Black Hawk atau F/A-18 daripada Kuwait yang dicadangkan, sepertimana yang saya jelaskan dasarnya, menteri pertahanan menjelaskan keputusan itu mesti dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal TUDM.

“Kalau dalam kes pesawat TUDM sendiri, mereka akan penuh bertanggungjawab mengenai kesiapsiagaannya.

“Kalau tidak dapat dipertahankan, kita tidak akan menandatangani. Itu jelas dasar kita,” tegas PMX pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

BACA JUGA Buli di sekolah atau talian sama sekali tidak boleh diterima, kata Suhakam