Isu TH: PN, PN…masa kamu boleh, orang lain buat tak boleh kenapa

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menempelak sikap pembangkang yang cuba memainkan isu pemberian kontrak penjenaman semula Tabung Haji kepada syarikat bukan Bumiputera.

Dengan pendedahan Menteri Agama semalam bahawa Perikatan Nasional (PN) juga melantik syarikat bukan Bumiputera dalam menguruskan pelbagai projek TH, Azli mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Marzuk Shaary masih mahu memainkan isu tersebut.

Beliau turut menegur kesalahan fakta yang disebut MP Pas itu kononnya TH membelanjakan RM20 juta untuk projek penjenamaan semula agensi itu.

“Hakikat sebenar, angka RM20 juta tidak tepat. Ini penting untuk diperbetulkan kerana ia melibatkan persepsi rakyat terhadap integriti TH.

“Selain itu menteri agama turut mengingatkan bahawa perkara ini bukannya baharu. Semasa kerajaan PN dahulu, TH juga pernah berikan 23 kontrak berjumlah RM55 juta kepada syarikat bukan Islam.

“PN, PN. Kalau ia boleh berlaku ketika zaman kamu menjadi menteri, kenapa sekarang mula dijadikan isu. Dulu kamu menteri boleh, sekarang orang lain menteri tak boleh…,” katanya dalam satu video di Facebook hari ini.

Semalam Menteri Agama, Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa kos penjenamaan semula adalah RM5.9 juta untuk 3 tahun dan bukan RM20 juta seperti didakwa.

Dalam sidang Dewan Rakyat, beliau turut menegaskan bahawa TH sentiasa mengutamakan syarikat Bumiputera di bawah polisi perolehannya.

Pada tahun 2024 sahaja, 81 peratus daripada vendor yang dilantik TH adalah syarikat Bumiputera, melibatkan 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan TH.

Sementara itu Azli berkata, jika Marzuk boleh memberikan alasan bukan beliau yang meluluskan kontrak kepada syarikat bukan Bumiputera, maka perkara sama juga berlaku dalam isu kontrak penjenamaan semula Tabung Haji.

“MP Pengkalan Chepa boleh pula kata bukan dia yang luluskan. Memanglah. Sebab yang meluluskannya adalah lembaga tender atau pun ia dikawal oleh lembaga pengarah TH.

“Jadi prosesnya sama. Sekarang pun bukan menteri agama yang luluskan. Jadi yang kamu bising kenapa. Yang kamu serang menteri agama kenapa. Yang kamu wujudkan persepsi negatif kenapa. Yang kamu politikkan kenapa

“Apa pun kita perlu faham prinsip TH adalah mengurus dana pendeposit dengan telus, berintegriti dan mencari nilai yang terbaik,” ujarnya.

BACA JUGA Isu TH: Menteri Agama dedah 23 syarikat bukan Bumiputera dilantik zaman PN