Apa maksud keluarga Zara minta tangguh dakwa 5 remaja? Ini penjelasan mudah faham

Seorang peguam tampil menjelaskan tindakan ibu kepada Allahyarham Zara Qairina yang meminta mahkamah menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja yang didakwa telah membuli arwah.

Menurut peguam Nor Zabetha, pertuduhan awal di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan hanya membawa hukuman ringan iaitu penjara tidak lebih setahun atau denda.

Jika remaja terbabit mengaku salah, mereka kemungkinan besar hanya akan dikenakan denda.

Atas sebab itu katanya, pihak keluarga telah memohon kepada Peguam Negara supaya mempertimbangkan semua remaja di atas dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 507D, pelaku boleh berdepan hukuman lebih tinggi sekiranya mangsa mencederakan diri atau membunuh diri akibat provokasi. Hukuman bagi seksyen ini boleh mencecah penjara sehingga 10 tahun.

Nor Zabetha bimbang jika pertuduhan dibuat terlalu awal, remaja terbabit tidak lagi boleh didakwa semula atas kesalahan lebih berat kerana wujud isu double jeopardy seperti yang termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Berikut adalah penjelasan penuh beliau.

Apa maksudnya? Mari saya huraikan untuk kefahaman kita.

Peguam keluarga Zara Qairina baru mendapat tahu bahawa  5 remaja akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

Apa Seksyen 507C(1) KK? Seksyen ini adalah bagi kesalahan orang yang membuat perkataan atau komunikasi yang bersifat ugutan, kasar atau menghina, atau melakukan sebarang perbuatan yang mengandungi unsur ugutan, kasar atau menghina sehingga mangsa boleh rasa berasa terganggu, tertekan, takut atau gusar.

Kalau kita teliti, ini adalah perbuatan membuli mangsa. Jadi kalau mengikut 507C(1) KK, hukumannya penjara tak lebih satu tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Secara asasnya kita tahu, dalam kes jenayah bagi kesalahan denda yang ringan begini, jika tertuduh mengaku bersalah maka hukumannya lebih rendah dan berakhir dengan denda sahaja.

Malahan dalam Seksyen yang sama iaitu sub-seksyen (2), pelaku boleh mempertahankan dirinya berdasarkan tafsiran penerimaan ayat itu. Ada pembelaan, sama ada tertuduh secara munasabahnya tahu ayatnya itu akan mengakibatkan mangsa terkesan.

Kenapa peguam keluarga Zara menyarankan Seksyen 507D(2)? Apa kesalahan Seksyen ini?

Seksyen ini adalah bagi kesalahan orang dengan apa-apa kaedah, menggunakan atau membuat sebarang perkataan atau komunikasi yang mengandungi ugutan, kekasaran atau penghinaan terhadap mana-mana orang, atau melakukan apa-apa perbuatan yang bersifat ugutan, kasar atau menghina terhadap mana-mana orang, dengan niat untuk mencetuskan provokasi kepada orang tersebut supaya mencederakan dirinya atau orang lain.

Dalam Seksyen ini memperuntukkan juga bahawa pelaku tahu tindakannya akan berkemungkinan besar akan mencetuskan provokasi kepada orang tersebut supaya mencederakan dirinya atau orang lain.

Hukuman bagi Seksyen 507D(2) masih sama dengan 507C(1) iaitu hukumannya penjara tak lebih satu tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

TETAPI..sekiranya dalam kes mangsa membunuh diri, saya petik hukuman bagi kes begini dalam Seksyen tersebut:-

“Dan jika orang yang diprovokasi itu cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi tersebut, maka orang yang menyebabkan provokasi itu boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya”

Maksud perenggan 4 apa kebimbangan yang saya fahami dalam kenyataan media peguam Zara Qairina dalam tulisan ini?

Begini, andai kata remaja-remaja ini dituduh bawah Seksyen 507C(1)KK. Mereka mengaku salah dan mendapat hukuman yang ringan. Tertuduh yang sama telah dihukum.

Tiba-tiba siasatan diteruskan dan inkues berjalan, jika terdapat perkembangan bahawa sebenarnya remaja-remaja ini telah melakukan kesalahan  bawah seksyen 507D(2) atau atau kesalahan yang lebih berat.

Tetapi hari itu mereka telah didakwa dan telah mengaku salah. Kebimbangan peguam kes ini akan menjadi DOUBLE JEOPARDY yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan. Mereka tidak lagi boleh didakwa.

Apa yang diperuntukkan bawah Artikel 7(2) ini?

Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang

(2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.

Jadi peguam keluarga Zara Qairina kini telah menulis surat kepada Peguam Negara pagi ini dan dihantar secara email bagi menyampaikan tujuan yang dinyatakan dalam kenyataan media ini.

Saya jelaskan berdasarkan tafsiran maksud kenyataan media. Kenapa peguam memohon dan menyarankan seperti dalam kenyataan media. Perkembangan terkini yang saya baca dalam laporan berita, mereka akan dituduh bawah Seksyen 507C(1).

Semoga kebenaran dan keadilan sewajarnya untuk anak ini.

BACA JUGA Ketua Pemuda Umno, Bersatu antara individu yang akan dituduh di mahkamah