MP Pas sertai solidariti Ketua Pemuda Bersatu, netizen sindir ingatkan kes ‘panas’
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memberitahu beliau hadir bersolidariti bersama Ketua Pemuda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Walau bagaimanapun, netizen mengingatkan pemimpin Pas berkenaan mengenai kes seorang wanita mendakwa dirogol pada Jumaat, 4 Disember 2020 yang menamakan dua kenalan Hilman.
“Terbaik saing (kawan) YB,” sindir netizen di ruangan komentar bagi hantaran Ahmad Fadhli di Facebook itu.
Merujuk kepada kes empat tahun lalu itu, salah seorang kenalan Hilman ialah pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Seorang lagi dikatakan sebagai kenalan lama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkenaan.
Mengikut laporan polis, mangsa mendakwa dijemput Hilman ketika itu ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahiran bersama kenalan rapatnya dan dua rakan wanita lain.
Mangsa berkenaan berkata, selepas makan malam, mereka semua pergi berkaraoke yang mana dia mengambil minuman alkohol sehingga mabuk dan seorang rakan mangsa memberitahu ketua bahagian parti PN itu menyertai mereka ketika di bilik karaoke.
Wanita itu berkata, ingatannya samar mengenai apa yang berlaku selepas berkaraoke, tetapi menyatakan dia berasa Hilman menolongnya untuk berjalan.
Ingatan terakhir wanita itu sebelum tidak sedarkan diri adalah wajah kenalan Hilman di atasnya.
Dilaporkan, wanita berkenaan kemudian bangun pada 4 pagi (Sabtu, 5 Disember 2020) di bilik hotel seorang diri.
Dia mendapati dirinya tidak memakai pakaian dan mengesyaki telah dirogol selepas menjumpai kondom di bilik mandi.
Seorang rakan memberitahunya bahawa dia telah meninggalkannya di bilik hotel bersama seorang rakan wanita lain, yang terakhir dilihat pada malam itu dengan ketua bahagian parti PN berkenaan.
Dia percaya Hilman tidak bertanggungjawab atas serangan seksual itu, tetapi “tidak pasti” yang mana antara dua rakan Hilman itu yang melakukannya.
Kegentaran awam
Hilman yang juga bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Berdasarkan pertuduhan, Hilman, 36, didakwa mengeluarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana individu supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah akaun TikTok pada pukul 2.09 petang, 30 Julai lalu.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pendakwaan terhadap Hilman dibuat susulan kenyataannya dalam video di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’.
“Kenyataan yang dibuat oleh individu ini didapati menggugat ketenteraman awam atau penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” kata AGC.
Video akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’ memaparkan ucapan Hilman ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai lalu.
BACA JUGA Ada pihak ‘jual’ nama Ketua Setiausaha KDN untuk dapatkan habuan