Tapak pelancaran roket di Sabah di mana?
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) masih belum memutuskan kawasan sesuai yang akan dijadikan tapak pelancaran roket di Sabah.
“Sehingga kini, MOSTI melalui MYSA masih sedang menunggu laporan penuh kajian kebolehlaksanaan daripada kerajaan negeri Sabah bagi melihat kesesuaian cadangan sebagai tapak pelancaran,” kata Menteri Chang Lih Kang.
Garis Panduan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Kemudahan Pelancar di Malaysia telah dilancarkan pada 2 November 2023.
Chang turut menjelaskan kenapa Sabah menjadi pilihan utama sebagai tapak pelancaran roket.
“Dari segi kestabilan geologi, wilayah Sabah berada di zon yang relatif stabil dan sesuai untuk pembangunan infrastruktur strategik.
“Selain itu, kedudukan lokasinya yang berhampiran dengan garisan Khatulistiwa juga turut menawarkan kelebihan daya tujahan bumi secara semula jadi, sekaligus mengurangkan kos penggunaan bahan api pelancaran.
“Kedudukan kawasan di Sabah yang mempunyai kepadatan penduduk yang rendah serta menghadap ke laut terbuka juga menjadikannya lokasi sesuai bagi pelancaran roket, kerana ia dapat mengurangkan risiko keselamatan terhadap penduduk setempat serta meminimumkan gangguan terhadap trafik ruang udara domestik.”
Beliau berkata demikian kepada Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) dalam jawapan bertulisnya.
BACA JUGA: Selepas pangkalan haram dipotong tali, industri hiburan seberang Sungai Golok jatuh 90%