Klinik pasang bendera terbalik diarah tutup 30 hari rupanya beroperasi tanpa lesen
Klinik pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian, Johor yang diarah tutup 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik rupanya beroperasi tanpa lesen.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi notis Arahan Penutupan Premis yang tersebar di media sosial.
Menerusi notis berwarna kuning daripada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) itu, premis tersebut diarah tutup bermula hari ini sehingga 20 September depan.
Notis yang ditandatangani Yang Dipertua MPPn, Abd Azim Shamsuddin itu juga memberitahu penutupan premis adalah mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019.
Sementara itu, Abd Azim dilapor berkata, setiap premis yang dilesenkan di bawah UUK diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah yang betul bagi tempoh tertentu termasuk sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Tindakan penutupan dibuat mengikut UUK 49 (2) yang memberi kuasa kepada yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen undang-undang kecil, ” dipetik Harian Metro.
Abd Azim berkata, pemilik premis terbabit masih boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan itu, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.
Sejak semalam, tular di media sosial video berdurasi 33 saat yang memaparkan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di klinik pergigian swasta di Pontian.
BACA JUGA Berlegar kempen hasut umat Islam tutup akaun Tabung Haji, kerajaan lapor SKMM, polis