Ekspo Osaka 2025: Malaysia berpotensi raih pelaburan RM134 juta dalam industri digital

FOTO BERITA: – Minggu Kementerian Digital sempena Ekspo 2025 Osaka melabuhkan tirai pada 15 Ogos lalu selepas lima hari mempamerkan keupayaan Malaysia dalam bidang digital dan kreatif di pentas antarabangsa. Osaka Jepun 22hb Ogos 2025 (Foto: Kem. Digital)

Bertemakan “Weaving a Future in Harmony”, minggu yang berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos di Pavilion Malaysia itu diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Majlis perasmian diadakan secara maya oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, dengan ucapan pembukaan disampaikan oleh Pengerusi MDEC, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh. Acara pembukaan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unbound dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan digital.

Sepanjang minggu tersebut, Malaysia menonjolkan industri kreatif digital merangkumi animasi, permainan digital, teknologi imersif, serta kandungan asli berasaskan harta intelek (IP) tempatan. Antara yang menjadi tumpuan pengunjung ialah karya tempatan seperti Upin & Ipin Universe (Les’ Copaque), GigaBash (Passion Republic Games) dan No Straight Roads (Metronomik). Selain pameran interaktif, Sesi Padanan Perniagaan (Business Matching) anjuran bersama MATRADE pada 12 Ogos mempertemukan 14 syarikat tempatan dengan rakan industri antarabangsa. Usaha ini membuka peluang pelaburan baharu dengan potensi dianggarkan mencecah RM134 juta.

Bagi memperkasa dialog industri, siri Business Pocket Talk dan Fireside Chat turut dianjurkan pada 13 Ogos menampilkan wakil dari MDEC, Metronomik, OMG Studios, Kezerk dan lain-lain. Sesi ini membincangkan pelbagai topik termasuk peluang pelaburan di Malaysia, kandungan berasaskan budaya, inovasi Generative AI, produksi maya, serta strategi pembangunan studio permainan digital Asia Tenggara.

Acara turut dimeriahkan dengan aktiviti awam seperti kemunculan karakter animasi popular Upin & Ipin, Boboiboy, dan Ejen Ali, tayangan animasi tempatan, serta aktiviti mewarna khas untuk kanak-kanak. Penutupan minggu ini lebih bermakna dengan kolaborasi istimewa antara Maskot rasmi Pavilion Malaysia, Lina, bersama Upin & Ipin serta Koko, maskot Pavilion Australia.

Minggu Kementerian Digital yang berlangsung pada minggu ke-18 Ekspo Osaka ini berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung ke Pavilion Malaysia. Ekspo yang diadakan setiap lima tahun itu menghimpunkan penyertaan 158 negara dengan jutaan pengunjung dari seluruh dunia. Kementerian Digital dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta semua rakan strategik atas sokongan menjayakan minggu yang penuh inspirasi ini.