Anwar arah siasatan penuh nahas pesawat tempur TUDM

Perdana Menteri meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malam tadi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta pihak berkuasa memastikan langkah keselamatan yang sewajarnya diambil.

Menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini, PMX turut menyatakan simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM yang terbabit dalam insiden itu.

“Saya mendoakan kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” kata beliau.

Nahas tersebut berlaku pada jam 9:05 malam tadi ketika pesawat F/A-18D Hornet itu hendak melakukan penerbangan.

Dua juruterbang terbabit yang hanya cedera ringan itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), awal pagi ini.

Dilaporkan, juruterbang pesawat berpangkat Mejar dilaporkan cedera di bahagian tulang sulbi (coccyx) dan melecur di tumit kiri.

Seorang lagi mangsa berpangkat Kapten mengalami kecederaan tisu lembut di belakang badan serta paha.

BACA JUGA KP UMNO nafi tuduhan timbulkan ketakutan, kegentaran awam