RUU PSB: 30 tahun sebagai tanda amaran bangunan usang

Oleh A. ZAHID

Kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memberi tumpuan besar terhadap isu bangunan dan infrastruktur usang yang semakin membimbangkan, khususnya apabila melibatkan kediaman penduduk.

Usia 30 tahun ditetapkan sebagai ambang persetujuan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bukanlah angka yang dipilih secara sembarangan.

Ia adalah ukuran realistik berdasarkan jangka hayat utiliti dan kemudahan asas di sesebuah bangunan, sama ada lif, sistem paip, elektrik, mahupun struktur asas yang mula merosot selepas tiga dekad.

Dalam konteks ini, kerajaan melihat pembaharuan bandar bukan sekadar soal fizikal semata-mata.

Ya, kita boleh menilai rekahan di dinding, paip bocor atau jalan berlubang dengan mata kasar.

Namun lebih penting, pembaharuan yang dirancang juga menyentuh aspek sosial, ekonomi dan budaya yang terikat dengan kehidupan komuniti bandar.

Apalah gunanya membaiki bangunan jika masyarakat di dalamnya masih berdepan jurang pendapatan, tekanan kewangan, masalah keselamatan atau persekitaran yang tidak kondusif?

Kehilangan nyawa

Kita sering disajikan dengan tragedi yang membuka mata, seperti kejadian lubang benam di Jalan Masjid India atau keruntuhan bangunan akibat usia yang terlalu lama tanpa penyelenggaraan.

Apakah kita mahu terus menunggu sehingga ada kehilangan nyawa baru mahu bertindak?

Justeru, langkah KPKT memperkenalkan mekanisme pemeriksaan berkala setiap 10 tahun, dan penetapan ambang 30 tahun sebagai masa sesuai untuk penilaian semula, adalah pendekatan berhemah yang berpaksikan keselamatan rakyat.

Lebih daripada itu, usaha ini juga memberi peluang untuk menyuntik semula nafas baharu kepada kawasan bandar lama yang kian lesu.

Pembaharuan semula bermakna membangunkan semula ekonomi setempat, memperbaiki imej bandar, meningkatkan keselamatan, dan pada masa sama menyediakan ruang hidup yang lebih sihat serta inklusif.

Inilah yang dimaksudkan sebagai keseimbangan antara ‘hardware’ dan ‘software’, bukan sahaja membaiki dinding dan jalan, tetapi juga mengurus tadbir kehidupan sosial dengan lebih baik.

Kerajaan Madani jelas menyedari bahawa pembangunan bandar tidak boleh hanya diukur dengan bangunan pencakar langit yang serba moden.

Lebih penting, bagaimana rakyat yang menghuni di bawah bumbungnya hidup dengan selamat, bermaruah dan sejahtera.

Maka, penekanan KPKT terhadap pembaharuan bandar melalui pendekatan komprehensif ini harus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, bukan sahaja untuk memulihkan fizikal bangunan, tetapi untuk membina semula keyakinan rakyat bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan nadi kehidupan mereka.

BACA JUGA Guru Pasti perlu dibayar gaji minimum RM1,700 sebulan