Akta PSB: Menjawab isu peratusan ambang persetujuan 51%, 75% atau 80%
OLEH A. ZAHID
Kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) jelas menunjukkan satu pendekatan yang berhati-hati dan berlandaskan prinsip kerelaan dalam pelaksanaan Projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Isu ini sering menimbulkan perdebatan, khususnya apabila melibatkan hak pemilik hartanah, namun apa yang ditetapkan oleh kerajaan sebenarnya mencerminkan keseimbangan antara kepentingan awam dan hak individu.
Peratusan ambang persetujuan iaitu sama ada 51%, 75% atau 80%, bukanlah angka yang dipilih secara sembarangan.
Ia ditetapkan sebagai tanda aras penting untuk memulakan projek PSB, dengan menekankan bahawa projek tidak akan berjalan tanpa persetujuan majoriti pemilik.
Pendekatan ini sekaligus menolak tanggapan bahawa kerajaan cuba menggunakan paksaan atau menafikan hak milik.
Sebaliknya, ia mengangkat prinsip demokrasi dalam membuat keputusan berhubung pembangunan semula kawasan bandar.
KPKT turut mengakui cabaran besar datang daripada pelbagai status hak milik. Ada pemilik yang hartanahnya terikat dengan pinjaman tidak berbayar (NPL), ada pula yang namanya tidak jelas dalam rekod pejabat tanah, malah terdapat kes pemilik meninggal dunia tanpa waris.
Semua ini menyebabkan sebahagian kecil pemilik tidak dapat memberi persetujuan walaupun mereka tidak menolak projek itu secara langsung.
Justeru, kerajaan meletakkan tumpuan kepada baki peratusan yang lebih kompleks ini iaitu sekitar 15 hingga 20% agar tidak menghalang majoriti yang bersedia.
Apa yang menarik, kerajaan juga menegaskan persetujuan 100% masih kekal wajib dalam kes penamatan skim strata, sepertimana termaktub dalam undang-undang sedia ada.
Ini menunjukkan tidak ada sebarang pengurangan atau pemudahan syarat yang boleh menjejaskan hak pemilik strata.
Akta PSB hanya digubal bagi memastikan pelaksanaan projek tidak bercanggah dengan undang-undang lain.
Pendekatan Madani ini penting kerana ia tidak sekadar melihat angka peratusan, tetapi lebih kepada membina keyakinan bahawa suara pemilik benar-benar dihormati.
KPKT menekankan prinsip “tiada paksaan” dengan mengutamakan rundingan, bahkan sekiranya persetujuan tidak dicapai, mekanisme terakhir hanyalah melalui proses pengambilan tanah yang sah di sisi undang-undang.
Akhirnya, PSB bukan sahaja soal pembangunan fizikal, tetapi juga cerminan kepada cara kerajaan melaksanakan amanah dengan adil.
Ia bukan soal menekan pemilik, sebaliknya memastikan semua pihak merasa dilibatkan dan dihargai. Inilah wajah sebenar Kerajaan Madani, membangun tanpa mengabaikan hak rakyat.
BACA JUGA Hasut tutup akaun Tabung Haji rugikan umat Islam sendiri