Anwar ajak rakyat sertai Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza Ahad ini
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia hadir beramai-ramai ke Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang akan berlangsung di Dataran Merdeka Ahad ini.
Beliau berkata, himpunan itu diadakan bagi menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis, selain menjadi titik mula kepada gerakan delegasi aktivis yang bakal membawa bantuan ke Gaza hujung bulan ini.
“Insya-Allah, Ahad ini akan bersama berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyatakan solidariti buat saudara kita di Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.
“Himpunan ini juga menjadi titik mula kepada gerakan delegasi aktivis yang bakal membawa bantuan ke Gaza hujung bulan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar menyeru seluruh rakyat untuk menyemarakkan panji-panji keadilan dan kemanusiaan dengan menghadiri program tersebut.
“Semoga doa dan usaha ini menjadi kekuatan untuk saudara kita terus bangkit dalam perjuangan memerdekakan bumi Palestin,” katanya.
Program bersempena Karnival Sumud Nusantara itu akan berlangsung pada 24 Ogos 2025, bermula jam 7 malam hingga 11.45 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan tema pakaian putih dan semangat Gaza.
Menerusi poster yang disediakan, pemimpin yang dijangka hadir termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan, Fauwaz Fadzil, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa agamawan serta jemaah menteri lain.
BACA JUGA JPMorgan setuju bayar Malaysia RM1.4 bilion selesaikan tuntutan 1MDB