Kegagalan TH seolah kemenangan pula buat pihak hasut tutup akaun – Khalid

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegaskan usaha penjenamaan Tabung Haji (TH) adalah untuk memperkukuh peranan institusi itu sebagai tabung pelaburan umat Islam, bukannya melibatkan soal ibadah haji seperti yang cuba dipolemikkan sesetengah pihak.

Beliau berkata, matlamat utama adalah menggalakkan umat Islam menabung di institusi itu agar simpanan tersebut dapat dilaburkan semula bagi memberi pulangan keuntungan yang akhirnya dimanfaatkan semula kepada pencarum melalui subsidi kos haji.

Menurut Khalid, terdapat pihak tertentu yang sengaja memutarbelit isu kontrak diberikan kepada syarikat bukan Islam, sedangkan perkara itu merupakan urusan muamalat dan pernah berlaku juga ketika pentadbiran Perikatan Nasional.

“Saya rasa dia tak faham kot penjenamaan ini apa. Mungkin dia fikir kita nak rebranding Haji ke apa. Dia tak faham. Saya rasa dari sudut apa yang diinginkan TH adalah pelaburan dan prestasi TH sebagai tabung pelaburan bagi umat Islam.

“Inginkan umat Islam menabung di situ sambil simpan duit untuk pergi haji. Sambil itu duit digunakan sebagai pelaburan. Bukan ada kena mengena soal nak pergi haji, atau berkait dengan ibadah.

“Zaman PN pun ada TH bagi projek-projek kepada bukan Islam. Benda ini muamalat. Bukan kita nak terlibat soal akidah. Ini muamalat, perniagaan.

“Ini tentang idea, cara bagaimana nak tarik rakyat untuk terus menabung. Ini soal perniagaan bukan tentang pembangkang suka atau tak. (Ia tentang) macam mana nak tarik orang untuk simpan, selain untuk tunjuk prestasi syarikat,” katanya dalam satu bual bicara di Facebook Jom Channel malam tadi.

Khalid menegaskan tindakan pihak tertentu yang menghasut pendeposit untuk mengeluarkan wang dari TH hanya akan melemahkan institusi itu sekali gus menyukarkan usaha umat Islam untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

“Kita sedang berusaha nak dapatkan orang untuk menabung dengan TH.

“Malangnya ada pula yang hasut untuk keluarkan duit. Apa awak nak? Awak nak gagalkan TH ke? Kalau semua dah keluarkan duit awak seronok ke? Ini ke perjuangkan Islam.

“Kegagalan TH seolah-olah kemenangan bagi dia. Kita sepatutnya mengharapkan TH berjaya kerana ianya usaha bantu umat Islam tunai haji,” katanya lagi.

BACA JUGA Hasut tutup akaun Tabung Haji rugikan umat Islam sendiri