Zulkifli seru selesaikan isu Tabung Haji secara baik

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru agar polemik berkaitan Tabung Haji tidak dijadikan gelanggang perseteruan politik berpanjangan kerana ia adalah simbol maruah umat Islam Malaysia dan lambang keyakinan para pendeposit

Beliau menasihatkan agar pertelingkahan yang wujud diselesaikan dengan baik.

“Dengan penuh keinsafan, saya melihat isu ini tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan yang berpanjangan.

“Maka, pertelingkahan yang ada wajar diselesaikan dengan baik dan pastinya mengutamakan suara hati majoriti para pendeposit di Tabung Haji,” katanya.

Mengenai isu pemberian kontrak dengan syarikat bukan Islam, Zulkifli berkata sejarah Uthmaniyyah telah membuktikan bahawa penglibatan kepakaran luar dibenarkan dalam bidang teknikal, manakala syiar dan dasar agama kekal di bawah kawalan Muslim.

Katanya, pada waktu itu kerjasama teknikal dibenarkan, tetapi urusan identiti dan imej agama tetap dipelihara oleh Muslim sendiri.

“Dalam sistem pentadbiran Islam, kuasa tafwīḍ (delegasi dasar) hanya diberi kepada Muslim kerana melibatkan syiar dan arah pentadbiran.

“Manakala kuasa tanfīdh (pelaksanaan teknikal) lebih terbuka untuk kerjasama, termasuk dengan bukan Muslim, sebagaimana pelantikan seorang Yahudi bernama Abdullah bin Uraiqit oleh Nabi Muhammad SAW sebagai penunjuk jalan ketika hijrah,” katanya.

BACA JUGA Kegagalan TH seolah kemenangan pula buat pihak hasut tutup akaun – Khalid