Sumbangan penajaan HKHM 2025 cecah RM22 juta daripada 113 rakan strategik sertai – Fahmi

FOTO BERITA: Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, YB Datuk Fahmi Fadzil serta Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) seperti Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) di Dewan Serbaguna, Aras B1 Menara Komunikasi, Persiaran Perdana, Presint Putrajaya. 22hb Ogos 2025 (Jumaat)

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Nik Kamaruzaman Nik Husin serta barisan rakan strategik dan penaja.

Dalam ucapannya, Datuk Fahmi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak swasta dan rakan strategik yang tampil memberi komitmen dalam memastikan sambutan HKHM 2025 berlangsung dengan lebih meriah dan inklusif. Program Sambutan pada tahun ini dapat meraih sumbangan penajaan melebihi RM22 juta daripada 113 rakan strategik dan jumlah itu meliputi RM1.9 juta dalam bentuk tunai manakala RM20.24 juta lagi berbentuk barangan dan perkhidmatan..

“Sumbangan penajaan ini bukan sahaja menyokong kelancaran penganjuran, tetapi juga mencerminkan perpaduan dan kesepakatan pelbagai pihak untuk bersama-sama menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” hujah beliau.

“Alhamdulillah, peningkatan ini hampir lima kali ganda berbanding tahun lalu. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan penaja atas komitmen mereka,” tambah beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2025 di Menara Komunikasi di sini,

Beliau menegaskan bahawa kerjasama awam-swasta penting dalam memperkukuh nilai kebersamaan dan menzahirkan semangat “Malaysia MADANI” bersempena sambutan kali ini. Acara HKHM 2025 dijadualkan berlangsung dengan pelbagai pengisian utama termasuk perarakan Hari Kebangsaan, program komuniti, pameran digital, serta aktiviti seni budaya di seluruh negara.

Datuk Fahmi menjelaskan bahawa semua sumbangan tunai akan disalurkan ke Akaun Amanah Sekretariat Merdeka bagi menampung perbelanjaan persiapan sambutan, manakala barangan pula akan diagihkan kepada orang ramai yang hadir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos dan di Dewan PICCA, Butterworth pada 16 September ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan HKHM 2025 sebagai projek berkepentingan nasional di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967. “Dengan kelulusan ini, semua penyumbang untuk HKHM 2025 layak menuntut potongan cukai bagi sumbangan mereka yang berkuat kuasa mulai 1 Mei hingga 16 September 2025 dengan had RM20 juta. Selain pelepasan cukai bagi sumbangan tunai, sumbangan in-kind juga layak menuntut potongan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat pada tahun taksiran semasa,” sambung beliau