Momentum pelaburan separuh pertama 2025 terus kukuh, cecah RM190 bilion
Malaysia mencatatkan RM190.3 bilion dalam pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2025, melonjak 18.7 peratus berbanding RM160.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pencapaian itu membuktikan keyakinan berterusan pelabur terhadap dasar dan agenda reformasi industri negara.
“Alhamdulillah, momentum pelaburan Malaysia terus kukuh! Malaysia telah mencatatkan RM190.3 bilion dalam pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2025.
“Ini adalah bukti jelas kepercayaan berterusan pelabur, baik asing mahupun domestik, terhadap dasar-dasar kita yang jelas dan agenda reformasi industri jangka panjang.
“Kejayaan ini juga membuktikan asas ekonomi kita yang kukuh, yang terus bertahan di tengah persekitaran global yang mencabar!” katanya dalam satu perkongsian di Facebook hari ini.
Menurutnya, kira-kira 89,000 pekerjaan baharu dijangka diwujudkan hasil daripada 3,011 projek yang diluluskan merentasi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.
“Ini menunjukkan keupayaan kita untuk menterjemahkan komitmen pelaburan kepada impak ekonomi yang sebenar untuk rakyat,” katanya.
MITI dalam infografiknya turut memaklumkan sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi sebanyak RM118.6 bilion, diikuti pembuatan RM68.4 bilion dan sektor utama RM3.3 bilion.
Johor kekal negeri penerima pelaburan tertinggi dengan RM56 bilion, manakala Singapura muncul pelabur asing utama bernilai RM43.4 bilion.
BACA JUGA RXZ Members: Ini ke punca Ahmad Samsuri ‘merajuk’?