RUU Pekerja Gig 2025 bukan dibuat atas angin

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bukan dibuat atas angin, imaginasi atau khayalan.

Jelasnya, RUU terbabit dirangka selepas melalui proses libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yakin draf undang-undang tersebut mampu memberikan perlindungan asas yang lebih baik kepada golongan pekerja gig.

“Sudah tentu ia tidak dapat memuaskan semua pihak, tapi semua pihak telah kita rujuk,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Steven Sim

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak terutama Ahli Parlimen menyokong supaya RUU itu diluluskan bagi memastikan kebajikan kira-kira 1.2 juta pekerja gig.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, anggota Dewan Rakyat wajar mengetepikan perbezaan politik demi menjayakan usaha memperkukuh kebajikan pekerja ekonomi digital.

“Ini supaya seramai 1.2 juta pekerja ini tidak lagi bertarung nyawa untuk bangunkan ekonomi negara dan berikan keselesaan kepada hidup kita,” kata pemimpin DAP itu lagi.

BACA JUGA Berserban berteriak tiada ilmu, isu Zara sudah jadi medan politik tabur fitnah