RUU Pekerja Gig: Titik bersejarah negara mengiktiraf peranan penting pekerja gig dalam undang-undang

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyifatkan pembentangan RUU Pekerja Gig 2025 hari ini sebagai satu titik bersejarah dalam usaha negara mengiktiraf peranan penting pekerja gig dalam undang-undang perburuhan.

“Malaysia bukan sahaja melangkah setapak ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig yang lebih adil, progresif dan inklusif, malah bakal menyertai 15 negara terawal di dunia yang memberikan definisi jelas kepada pekerja gig.”

KESUMA yakin usaha ini akan menjamin masa depan yang mapan dan seimbang bagi lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara serta mengangkat kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing di pentas antarabangsa.

RUU ini mengandungi 10 bahagian 112 fasal dengan empat teras:

i. Definisi Rasmi ‘Pekerja Gig’;
ii. Pendapatan atau Kadar Bayaran;
iii. Mekanisme Penyelesaian Pertikaian; dan
iv. Perlindungan Sosial.

Ia telah memulakan usaha ke arah RUU ini sejak 4 Mac 2024 bilamana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu ini semasa Kongres Ekonomi Bumiputera pada Mac 2024 yang diikuti dengan Kajian Kerangka Dasar Pekerjaan dan Perundangan Pekerja di Malaysia.

Kesuma kemudian menubuhkan Jawatankuasa Kerja Penggubalan RUU Pekerja Gig yang dianggotai wakil jabatan dan agensi di bawah KESUMA serta melaksanakan sebanyak 28 siri bengkel dan mesyuarat.

Sebanyak 37 sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh dijalankan di antara 22 Oktober 2024 sehingga 7 Ogos 2025.

Selain itu KESUMA turut mengadakan Lawatan Kerja Penandaarasan ke Singapura untuk meneliti pelaksanaan Platform Workers Act 2024 bersama Ministry of Manpower Singapore serta mengadakan sesi libat urus di Ibu Pejabat Grab di republik tersebut.

KESUMA juga telah menyertai perbincangan di Jawatankuasa Teknikal Decent Work in the Platform Economy mengenai instrumen perburuhan antarabangsa berhubung pekerja gig dan platform ekonomi di International Labour Conference (ILC) ke-113 di Geneva, Switzerland.

BACA JUGA: RUU Pekerja Gig 2025 bukan dibuat atas angin