Pelajar terjatuh di asrama sekolah, masyarakat diseru elak sebar berita palsu

Kerajaan Negeri Selangor menyeru masyarakat untuk bertenang, tidak menimbulkan spekulasi dan penyebaran berita palsu berhubung insiden seorang pelajar sekolah terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail, berkata, orang ramai juga perlu memberi ruang penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tuntas berhubung insiden yang dilaporkan berlaku jam 2 pagi tadi.

Menurutnya, beliau telah diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa serta menziarahi pelajar terbabit.

Ujarnya, pihak kerajaan negeri dimaklumkan bahawa kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis bersama Jabatan Pendidikan Negeri.

“Kerajaan Negeri menyeru masyarakat agar bertenang, tidak membuat spekulasi dan mengelakkan penyebaran berita palsu.

“Semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Datuk Rizam turut memaklumkan bahawa beliau akan menziarahi pelajar serta keluarga mangsa dalam masa terdekat, selain mendoakan agar pelajar terbabit menjalani rawatan dengan baik dan segera pulih.

Dilaporkan, pelajar berusia 15 tahun berkenaan kini dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.

Mangsa ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan.

Keputusan imbasan CT scan mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi mendapati mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.

BACA JUGA Timbalan Speaker ingatkan MP Pengkalan Chepa jangan main-main Akta Rahsia Rasmi