PSB: Bila ajak bincang tidak datang, sekarang bising di luar

Sebanyak 108 sesi libat urus telah diadakan bagi merangka Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), namun tiada seorang pun wakil pembangkang yang hadir.

Pemerhati Jason Yew berkata, kegagalan pembangkang berbuat demikian berlaku ketika kerajaan telah berusaha menjelaskan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) PSB kepada semua pihak berkepentingan.

“Setiap saluran dialog dibuka, setiap soalan dijawab dan setiap kebimbangan diberi ruang untuk dibincangkan.

“Bukan sekadar sesi penerangan, kerajaan turut menganjurkan lawatan tapak pada bulan Mei bagi memberi peluang kepada semua wakil rakyat melihat sendiri keadaan kawasan pembaharuan.

“Ahli Parlimen pembangkang turut dijemput secara rasmi. Namun, tiada seorang pun hadir,” tegasnya.

Sehubungan itu, Jason berpendapat kerajaan terbukti tidak pernah menutup pintu dialog tetapi peluang yang dibuka langsung tidak disambut oleh pihak yang paling lantang menolak PSB.

“Soal keberkesanan bukan pada keterbukaan kerajaan, tetapi pada keengganan mereka (pembangkang) untuk duduk semeja dan berbincang.

“Kerajaan memilih pendekatan inklusif dan terbuka kerana masa depan rakyat bandar lebih penting daripada politik.

“Sebaliknya, ketiadaan pembangkang dalam sesi libat urus menunjukkan penolakan mereka tidak datang dengan fakta, sebaliknya berdiri di atas persepsi dan andaian,” kata Jason lagi.

Tidak wajar

Sementara itu, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Dr Alias Rameli menegaskan bahawa gesaan agar RUU PSB 2025 ditangguhkan sebagai tidak wajar kerana ia telah melalui sesi libat urus dan rundingan yang komprehensif.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya sudah melaksana 108 sesi libat urus membabitkan badan profesional, persatuan penduduk dan tokoh akademik.

“Kita tidak nampak mengapa perlu lagi penangguhan (untuk) sesi (sidang Dewan Rakyat) yang akan datang kerana kita rasa telah melalui proses rundingan dan sesi libat urus yang cukup bagi memenuhi sebahagian besar kehendak.

“Cuma ada beberapa NGO (badan bukan kerajaan) yang memberi pandangan tertentu,” katanya pada sidang medianya di bangunan Parlimen hari ini.

Alias Rameli

Alias berkata, RUU PSB dan RUU Sewaan Kediaman tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain.

“Tidak ada langsung hubungan di antara Akta Sewaan Kediaman dengan Akta PSB, memang tidak berkaitan langsung,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa isu berkaitan tanah kekal di bawah bidang kuasa negeri.

“Tidak ada sedikit pun pelanggaran dalam konteks RUU PSB ini untuk mengambil kuasa pihak berkuasa negeri termasuk pihak berkuasa tempatan dalam hal berkaitan urusan tanah serta perancangan.

“Malah tapak yang dikenal pasti untuk tujuan PSB ini pun datang daripada negeri, bukan datang daripada Persekutuan.

“Pengisytiharan tapak bagi tujuan pembangunan bandar juga harus dibuat oleh pihak berkuasa negeri dan diwartakan oleh negeri,” katanya.

Jelas beliau lagi, pihaknya juga telah menerima sebanyak 534 tapak yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri dan dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Terdahulu, empat negeri ditadbir pembangkang menolak RUU PSB dengan alasan dikhuatiri memberi implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri.

BACA JUGA Masjid hanya umpan derma? Rumah isteri muda siap dulu, pak ustaz mana pula ni?