Banyaknya kes buli yang berlaku di sekolah tahun lalu

Sebanyak 7,681 kes buli telah direkodkan sepanjang tahun lalu di sekolah – sekolah yang berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), kes salah laku buli yang direkodkan dari Januari hingga Disember 2024 adalah sebanyak 7,681 kes salah laku buli di sekolah bawah KPM.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,992 kes melibatkan sekolah rendah dan 5,689 kes sekolah menengah,” kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada V Ganabatirao (PH-Klang).

Banyak langkah pencegahan telah diguna pakai untuk mengurangkan kes buli.

Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) sedang digubal di bawah Akta Pendidikan 1996.

Berikut adalah 14 langkah pencegahan yang sedang dilaksanakan:

1.melaksanakan audit keselamatan di semua institusi pendidikan termasuk sekolah berasrama penuh, asrama harian dan sekolah harian berfokus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan;

2. menambah baik SOP keselamatan dan disiplin dengan mengemas kini garis panduan keselamatan termasuk tatacara menangani kes buli supaya relevan dengan keperluan semasa;

3. melaksanakan Reformasi Sistem Aduan Buli dengan mengemaskini portal aduan melalui pengenalan fungsi aduan anonim (tanpa nama) bagi melindungi identiti pengadu dan saksi;

4. menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan dengan gabungan pakar akademik, badan bukan kerajaan, pakar kanak-kanak, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) bagi memperkasakan keselamatan sekolah;

5. menegaskan pendekatan tiada kompromi terhadap buli dengan hukuman tegas seperti gantung sekolah dan buang sekolah bagi pesalah buli;

6. melaksanakan Program Intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ iaitu program khidmat komuniti/masyarakat dan pembangunan sahsiah untuk murid yang digantung sekolah;

7. mengenakan tindakan ke atas pentadbir, guru dan pejabat pendidikan daerah (PPD) yang cuai atau gagal mengurus aduan buli mengikut garis panduan;

8. memantapkan sokongan psikososial dengan memperkukuh peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling di semua peringkat bagi memperkasakan program-program intervensi pencegahan buli;

9. bekerjasama dengan semua pihak dalam memupuk ekosistem sekolah selamat sebagai tanggungjawab bersama warga sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan;

10. menyambut titah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kempen memerangi buli di sekolah;

11. mengadakan lawatan mengejut (Spot-check) oleh pengarah pendidikan, jabatan pendidikan negeri dan PPD termasuk pada waktu malam ke asrama bagi mencegah buli;

12. melaksanakan penilaian dan penambahan ciri keselamatan fizikal di asrama melalui pemasangan kamera litar tertutup, dan meningkatkan bilangan warden asrama;

13. bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Akademi Perundangan Negara (APN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memberikan kefahaman kepada pemimpin sekolah berkaitan Akta 792 dan tanggungjawab pendidik dalam konteks in loco parentis; dan

14. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri sedang meneliti cadangan keperluan menggubal Akta Anti Buli menggunakan sistem tribunal bagi kes membabitkan murid dan kanak-kanak. Cadangan oleh BHEUU ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

BACA JUGA: Sedekad AMANAH hidupkan semula idea Islam Rahmatan Lil Alamin