STPM Cemerlang, Peluang ke IPTA Mengecil – YB Lee Desak #ReformUPU

FOTO BERITA: Sidang Media Ahli Parlimen Petaling Jaya YB Lee Chean Chung mengenai pelajar STPM ke IPTA di Pusat Media, Aras G, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. 26hb Ogos 2025 (Selasa)

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025 – Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB Lee Chean Chung menggesa kerajaan melaksanakan reformasi sistem pengambilan pelajar universiti awam (UPU) susulan penurunan ketara kemasukan pelajar STPM ke bidang utama.

Beliau mendedahkan kemasukan pelajar STPM ke Perubatan jatuh daripada 623 orang (2023) kepada 494 orang (2024), manakala di Universiti Malaya hanya seorang diterima berbanding lapan sebelumnya. Bagi bidang Undang-undang, angka menurun daripada 185 kepada 131 orang, dengan UM dan UKM merekodkan penurunan lebih 50%.

“Ini ketidakadilan kepada pelajar STPM yang setaraf A-Level, tetapi semakin disisihkan daripada kursus utama IPTA,” tegasnya dalam sidang media di Parlimen.

Walaupun statistik rasmi KPT menunjukkan lebih 26,000 pelajar STPM berjaya masuk IPTA pada sesi 2024/2025, masih terdapat lebih 14,000 calon STPM layak tidak mendapat tempat. Sehubungan itu, YB Lee menyeru pelancaran gerakan #ReformUPU agar sistem pengambilan lebih adil dan benar-benar berpaksikan meritokrasi.