Siasatan kematian pelatih Palapes UTM Skudai Syamsul Haris Shamsudin kini dengan Bukit Aman

Siasatan kematian pelatih Palapes UTM Skudai Syamsul Haris Shamsudin kini telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonon keluarga Allahyarham Syamsul untuk menggali semula kubur dan menjalankan bedah siasat kedua terhadap jasadnya, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar.

“PDRM memberikan komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah mahkamah tersebut dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus serta berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip rule of law bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan.

mahkamah yang dipengerusikan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet telah mengeluarkan perintah supaya jasad Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua.

“Mahkamah turut memerintahkan supaya bedah siasat dilakukan seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga, Datuk Naran Singh atau wakilnya.

“Selain itu, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat berkenaan diarah mengeluarkan laporan post-mortem dalam tempoh munasabah, dengan satu salinan laporan diserahkan kepada peguam keluarga, Tetuan Naran Singh & Co,” katanya.

Permohonan gali semula kubur telah dikemukakan oleh ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Gaulatgun pada 19 Ogos.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu.