‘Buli berlaku kerana sekolah gagal laksana garis panduan Kementerian Pendidikan’
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat, Yeo Bee Yin berkata kegagalan sekolah bertindak berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan KPM menyebabkan peningkatan kes buli.
“Sebagai contoh, jika kita tengok m/s 15 garis panduan, Perkara 4.3 Tatacara Pengendalian Aduan Salah Laku Buli (a), apabila Pengetua atau guru besar mengetahui mengenai kejadian salah laku buli tersebut, beliau hendaklah, dalam tempoh 24 jam, mengambil tindakan seperti menghubungi ibu bapa atau penjaga murid yang terlibat, menghantar dan mengiringi murid ke klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan untuk pemeriksaan sekiranya murid itu mengalami kecederaan fizikal atau gangguan emosi dan lain-lain lagi.
“Selain itu, garis panduan ini turut menyediakan panduan intervensi, baik dari segi pencegahan, perkembangan, pemulihan, mahupun krisis.
“Secara keseluruhannya, Jawatankuasa berpendapat bahawa jika Garis Panduan ini dipatuhi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, kes Zara tidak akan berlaku.
“Jika Garis Panduan ini dipatuhi di sebuah sekolah asrama di Sabak Bernam, adik Ahmad Irfan tidak akan terjatuh dari tingkat tiga dan sekarang masih berada dalam keadaan kritikal di hospital.
‘Nak tutup kes cepat’
“Persoalannya, berapa lagi sekolah KPM yang tidak mengikut garis panduan?
“Berapa lagi yang mengambil sikap denial dengan hasrat untuk tutup kes cepat?
“Apa gunanya jika kita meratifikasikan CRC dan mewujudkan garis panduan yang komprehensif tetapi hakikatnya semua ini hanya adalah komestik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kita telah buat yang terbaik dalam melindungi kanak-kanak kita?
Yeo berkata demikian ketika membentangkan pernyataan Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat.
Justeru itu, Kementerian Pendidikan perlu memastikan semua sekolah menuruti garis panduan tersebut.
17 syor
Beliau turut berkata sebanyak 17 syor telah dikemukakan oleh jawatankuasa pilihan.
“Pertama, Jawatankuasa mengesyorkan KPM untuk mewujudkan talian aduan buli khas yang mesra kanak-kanak, dengan fungsi seperti chat, bahasa yang mudah, dan disesuaikan dengan usia serta keupayaan mereka.
“Ini adalah kerana Jawatankuasa mendapati melalui sesi libat urus bahawa saluran aduan buli KPM sekarang masih tidak mesra kanak-kanak dan menggunakan bahasa yang birokratik.
“Bagi sekolah berasrama pula, oleh sebab mereka mungkin tidak boleh akses telefon bimbit atau internet, kotak aduan buli wajib diwujudkan.”
Yeo turut menyentuh keperluan saluran membuat aduan secara selamat
“Ada kanak-kanak rasa takut nak buat aduan buli kerana mereka rasa takut dibalas dendam oleh pembuli, Jawatankuasa berpendapat bahawa pilihan untuk buat aduan secara anonim perlu diberi kepada kanak-kanak, maklumat peribadi perlu dirahsiakan dan perlindungan yang sewajarnya perlu diberi.
“Secara keseluruhannya, kanak-kanak perlu rasa selamat apabila mereka buat aduan dan mereka perlu rasa dibantu dan disokong oleh pihak sekolah selepas mereka buat aduan.
“Kami mencadangkan untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas Anti Buli yang terdiri daripada individu berkelayakan dan berpengalaman tempatan untuk memantau pematuhan sekolah.
“Ia juga boleh menjadi saluran rayuan bagi kes-kes yang belum selesai tetapi telah ditutupkan oleh pihak sekolah.”
Yeo turut berkata bahawa jawatankuasa pimpinannya itu memutuskan untuk mengadakan sesi town hall anti-buli memandangkan buli telah menular dari sekolah ke tempat kerja seperti yang dilihat dalam kes Zulfarhan Osman Zulkarnain di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Dr. Tay Tien Yaa yang mati kerana dibuli di Hospital Lahad Datu, Sabah.
BACA JUGA: Hukuman sebatan mandatori akan dimansuhkan?