Tiada Kuasa Persekutuan Isytihar Kawasan PSB, Tertakluk Kuasa Negeri – Dr Alias

FOTO BERITA: Sidang Media YBhg. Datuk YBhg. Datuk TPr Dr. Alias Rameli Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) akan mengadakan sidang media khas berkenaan RUU PSB di Studio RTM, Pusat Media Parlimen, Aras G, Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. 27hb Ogos 2025 (Selasa)

Cadangan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dianggap tidak wajar kerana ia telah melalui proses libat urus serta rundingan yang menyeluruh.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli, berkata setakat ini lebih 108 sesi libat urus telah diadakan melibatkan badan profesional, pihak berkuasa tempatan serta persatuan penduduk di seluruh negara. “Tiada langsung kuasa pada pihak Kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan kawasan bagi tujuan PSB. Begitu juga hal ehwal tanah wakaf, ia kekal tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya

Alias turut menegaskan bahawa RUU PSB tidak mengandungi sebarang elemen paksaan dalam pengambilalihan tanah, sebaliknya menekankan aspek persetujuan bersama.

RUU PSB antara lain bertujuan menyediakan peruntukan jelas berhubung ambang persetujuan serta kriteria kehendak dalam pelaksanaan projek pembaharuan semula bandar, sekali gus memastikan pembangunan lebih tersusun, inklusif dan memberi manfaat kepada semua pihak.