Saya pinggirkan negeri – negeri tertentu? Biar betik…
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menolak keras tohmahan bahawa Kerajaan Madani telah meminggirkan negeri- negeri tertentu.
Ia berdasarkan peruntukan yang diterima kerajaan negeri termasuk kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional.
Menurut beliau peruntukan negeri telah diperluaskan kepada pelaksanaan projek mega yang bermanfaat untuk rakyat.
Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Terengganu Kelantan dan Pahang merupakan negeri-negeri yang memperoleh peruntukan tertinggi.
“Ia menolak sebahagian tanggapan bahawa ada peminggiran seperti yang ditohmah selama ini. Apabila kita beri angka ini, tidak dihadam dan naratif lama diteruskan. Ini saya tunjuk (angka sebagai bukti) dalam Kerajaan Madani bukan (mereka) dipinggirkan, malah ditambah peruntukan berdasarkan keperluan.
“Saya sebut di dewan ini berulang kali mengenai RTB umpamanya, untuk keseluruhan negara RM25.08 bilion (diperuntukkan) dan tertumpu banyaknya di Kelantan, Pahang, Terengganu yang menelan kos RM8.8 bilion,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada benarkah perancangan projek pembangunan infrastruktur oleh kerajaan Persekutuan hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu dan meminggirkan sebahagian yang lain.
Anwar menjelaskan peruntukan pembangunan negeri turut menyaksikan peningkatan bagi tahun perbandingan 2022 dan 2025.
“Umpamanya Sabah, kalau kita lihat 2022 ketimbang 2025, untuk perbelanjaan pembangunan itu peningkatan agak mendadak. Dari RM5.2 bilion naik RM6.7 bilion. Sarawak dari RM4.7 bilion pada 2022 naik kepada RM5.9 bilion.
“Terengganu daripada RM1.4 bilion naik RM1.8 bilion. Kelantan RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion. Kedah, daripada RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion dan Perlis, daripada RM0.4 bilion kepada RM0.6 bilion,” jelas beliau.
“ECRL yang melibatkan Pahang, Terengganu, Kelantan dan sebahagian Selangor, itu jumlah keseluruhannya RM74.96 bilion. Ini tak termasuk Central Spine Road di Pahang, Terengganu dan Kelantan, di mana kosnya RM6.38 bilion.
“Ini bukan soal pilih atau tidak, tapi keperluan. Bekalan air melalui pinjaman di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), RM1 bilion untuk Kedah, RM1 bilion untuk Kelantan. Ini termasuk skim pemindahan air Jeniang di Kedah dengan kos RM922 juta,” ujarnya.
BACA JUGA: Gagal halang RUU Perolehan, pembangkang ‘koyak’ keluar dewan