Anwar terkejut kain samping terbalik, netizen berseloroh mujur Akmal tak nampak

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsikan detik mengejutkannya apabila beliau sebelum ini tidak sedar kain samping dipakainya terbalik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan beristighfar, iaitu memohon keampunan kepada Allah sejurus menyedari hal tersebut ketika sedang minum.

“Astaghfirullahalazim, baru perasan – samping terbalik!” tertera kapsyen berserta foto beliau sedang membelek kain samping berjalur kuning, merah dan kelabu itu.

Menjengah ruangan komentar perkongsian Anwar itu di Facebook dan X rasmi beliau, rata-rata netizen memberi reaksi berbaur nada seloroh.

Ramai juga dilihat ‘menyeru’ nama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini lantang bersuara terhadap insiden Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik.

“Nasib baik Dr Akmal Saleh tak nampak. Dia pantang terbalik-terbalik ni,” usik Aqim Nizar.

“Jangan ada yang berarak pasal kain samping tu nanti ye. Sekarang, pantang terbalik je nak berarak. Asalkan nak berarak je mesti terbalik,” sindir @Nastro75.

Tidak kurang juga yang berpendapat hal itu tidak menjadi masalah besar buat seorang pemimpin yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab.

BACA JUGA Gagal halang RUU Perolehan, pembangkang ‘koyak’ keluar dewan