KPDN lancar Sambutan HKHM 2025, fokus santuni rakyat dengan inisiatif MADANI

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Program Sambutan HKHM 2025 peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) oleh YBM Datuk Armizan Mohd Ali. Turut hadir YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar Ketua Setiausaha di Dewan Serbaguna KPDN, Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. 28hb Ogos 2025 (Khamis)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 peringkat Kementerian dengan memaknai tema Bulan Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.”

Tema tersebut bukan sahaja membawa mesej patriotisme, perpaduan dan kecintaan kepada tanah air, malah menekankan komitmen kerajaan untuk menjadikan kepentingan rakyat sebagai asas kepada setiap dasar, program dan inisiatif.

Bagi menyemarakkan sambutan, KPDN menganjurkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Pertandingan Kuiz 5763, Pertandingan Kolaj@Merdeka, Pertandingan Merdeka Explorace dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Bulan Kebangsaan.

Dalam pada itu, dua agensi utama di bawah KPDN turut memperkenalkan inisiatif khusus sempena bulan kebangsaan iaitu MyIPO tawar diskaun pendaftaran cap dagangan. Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melancarkan kempen “Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global” bermula 1 September hingga 31 Disember 2025.

Melalui kempen ini, fi pendaftaran cap dagangan dikurangkan sebanyak RM300, menjadikan bayaran hanya RM650 berbanding RM950 bagi setiap permohonan. Pendaftaran ini memberikan perlindungan jenama atau logo perniagaan selama 10 tahun di bawah undang-undang harta intelek. Inisiatif ini diyakini dapat menggalakkan pendaftaran harta intelek, sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sementara itu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 yang dilengkapi reka bentuk moden, ruang lebih luas serta kemudahan teknologi baharu. Antara ciri baharu termasuk kaunter moden, kiosk skrin sesentuh, terminal layan diri mudah alih serta ruang taklimat mesra pelanggan.

Bas ini juga didaftarkan dengan nombor khas 1604, simbolik kepada tarikh penubuhan SSM pada 16 April 2002.

Selain itu, rakan strategik KPDN, Shopee turut menyertai sambutan dengan melancarkan Kempen Shopee Payung RM100 bermula 31 Ogos hingga 16 September 2025.

Melalui kempen ini, pelanggan boleh mendapatkan baucer bernilai RM100 dengan hanya RM1. Sebanyak RM10 juta diperuntukkan yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 pengguna Shopee. Baucer ini boleh digunakan untuk pembelian di ShopeeFood, Shopee Live dan ShopeePay, di samping tawaran penghantaran percuma sepanjang tempoh promosi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, YB Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bahawa inisiatif yang diperkenalkan oleh KPDN, agensinya dan rakan strategik adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk menyantuni rakyat dan menghargai kebersamaan seluruh bangsa Malaysia dalam membina negara yang aman, makmur dan sejahtera.