Dah kali kelima, Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi

Gempa bumi lemah berukuran 3.4 magnitud berlaku pada jam 4.24 pagi tadi di Segamat, menjadikan gegaran kelima sejak kejadian pertama, 24 Ogos lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gempa bumi itu berlaku kira-kira 22 kilometer Timur Laut dari Segamat.

Gegaran itu berpusat pada koordinat 2.7 darjah utara dan 102.9 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer.

“MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi ini,” menurut MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook, pagi ini.

Pada jam 7.56 malam tadi, gempa bumi lemah berukuran 2.5 magnitud melanda daerah yang bersempadan dengan Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka itu.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi itu berlaku kira-kira 13 kilometer utara Segamat, berpusat pada koordinat 2.6 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.

Orang ramai yang merasai gegaran diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan MetMalaysia menerusi pautan https://forms.gle/nt79XYue2odoATPK7 bagi membantu siasatan lanjut.

BACA JUGA PMX sekali lagi bersama ribuan tokoh Islam, pemimpin agama dunia