Jakarta semakin ‘panas’, kematian pemuda dilanggar polis pacu amarah ribuan demonstran
Jakarta semakin bergolak hari ini dengan aksi demonstrasi ribuan rakyat termasuk golongan pelajar susulan kejadian seorang penunggang motosikal e-hailing maut dilanggar sebuah kenderaan polis.
Lapor Metro TV sebentar tadi, ketegangan semakin memuncak di hadapan Markas Pasukan Briged Mobil (Brimob) Polis Daerah Metro Jaya di Kwitang, Jakarta Pusat.

“Para peserta demonstrasi ditolak mundur oleh pihak polis. Mereka berhimpun bagi menuntut keadilan berhubung insiden pelanggaran yang menimpa pemandu e-hailing, Affan Kurniawan,” memetik Metro TV.
Sementara itu, BBC News Indonesia melaporkan ribuan penunggang motosikal e-hailing mengiringi jenazah Affan Kurniawan ke Tanah Perkuburan Umum (TPU) Karet Bivak, Jakarta Pusat hari ini.
Malam tadi, Affan Kurniawan, 21, meninggal dunia digilis oleh kenderaan taktikal (Barracuda Brimob) ketika polis menyuraikan penunjuk perasaan yang menzahirkan bantahan terhadap pelbagai isu, termasuk berkaitan elaun diterima wakil rakyat serta dana pendidikan.

Media tempatan melaporkan pasukan polis antirusuhan melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan perusuh.
Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri memaklumkan bahawa ketika itu, sebuah kenderaan berperisai polis melanggar Affan Kurniawan yang bekerja dalam perkhidmatan e-hailing, menyebabkannya meninggal dunia.
“Sebagai ketua polis dan bagi pihak seluruh pasukan, saya ingin memohon maaf serta merakamkan ucapan takziah,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan supaya insiden berkenaan disiasat secara menyeluruh.
Beliau turut meminta supaya orang ramai kekal bertenang sambil menzahirkan ucapan takziah atas kematian Affan yang diakui penduduk setempat merupakan tulang belakang keluarga pemuda berkenaan.
“Saya terkejut dan kecewa dengan tindakan keterlaluan pegawai terbabit.
“Saya sudah mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan… dan pegawai terbabit mesti dipertanggungjawabkan,” tegasnya dalam satu ucapan khas melalui rakaman video.
BACA JUGA Dah kali kelima, Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi