Kontroversi eHati: Peguam dan doktor turut disiasat, 40 individu sudah dipanggil

Seramai 40 individu telah dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga, eHati.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, berkata mereka yang dipanggil termasuk golongan profesional seperti peguam dan doktor, selain pasangan suami isteri yang juga penganjur program kontroversi itu.

“Di pihak JAIS, siasatan dijalankan bagi meneliti sama ada terdapat doktrin-doktrin yang salah diamalkan oleh kumpulan terbabit. Setakat ini, lebih kurang 40 orang saksi telah dipanggil untuk direkodkan kenyataan mereka.

“Buat masa ini, siasatan masih diteruskan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan syariah untuk tindakan lanjut, termasuk menentukan sama ada wujud elemen kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

BACA JUGA Jimat belanja harian warga Lembah Klang, EKVE beri laluan percuma selama sebulan