Tiga kejayaan tidak didendang Malaysia ini sering diabai, Bank Dunia anggap pencapaian ‘sangat luar biasa’
Terdapat tiga pencapaian penting dalam ekonomi Malaysia yang disifatkan pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi sebagai kejayaan tidak didendang.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia itu berkata, pencapaian-pencapaian tersebut perlu menjadi kebanggaan rakyat negara ini.
Menerusi hantaran di platform X, pemegang ijazah ganda dalam Fizik dan Ekonomi dari University of California, Los Angeles (UCLA) itu berkata, pencapaian pertama ialah pengurangan kadar kemiskinan yang ketara sejak kemerdekaan.
Menurutnya, hampir separuh daripada penduduk Malaysia dianggap miskin 10 tahun selepas kemerdekaan Tanah Melayu.
“Namun hari ini, hanya kira-kira enam daripada setiap 100 rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan. Ini bermakna lebih 14 juta rakyat Malaysia berjaya keluar daripada kemiskinan.
“Walaupun usaha untuk menghapuskan kemiskinan sepenuhnya masih diteruskan, pencapaian ini adalah sangat luar biasa,” akuinya.
Dr Apurva berkata, pencapaian Malaysia juga berjaya dicapai tanpa wujudnya kawasan setinggan kekal seperti sering terjadi di negara lain iaitu satu aspek yang baginya sering diabai dalam perbincangan mengenai pembangunan.
“Singapura tidak perlu menangani masalah kemiskinan dalam skala sebesar, maka rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga,” jelasnya.

Mempelbagaikan ekonomi
Pencapaian kedua yang diketengahkan oleh Apurva yang juga pernah mengajar dan melakukan penyelidikan di institusi terkemuka seperti MGIMO (Rusia), Thammasat University (Bangkok), University of Chicago, dan Yale itu adalah kejayaan Malaysia dalam mempelbagaikan ekonomi.
Tokoh berkenaan berkata, tahap kerencaman ekonomi Malaysia mengatasi semua negara lain yang bergantung kepada komoditi pada tahap pendapatan yang sama ketika Malaysia mencapai kemerdekaan.
“Pada awal 1960-an, sebanyak 95 peratus eksport barangan Malaysia terdiri daripada komoditi asas atau barangan ‘mudah’. Kini, angka itu menurun kepada hanya 30 peratus,” katanya.
Beliau turut menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia kini 3.6 kali ganda lebih tinggi daripada Filipina.
KDNK Malaysia juga, jelasnya, adalah sembilan kali ganda lebih tinggi daripada Zambia iaitu dua negara yang bermula pada tahap pembangunan yang hampir sama dengan Malaysia.
“Kepelbagaian ekonomi ini meningkatkan taraf hidup rakyat secara langsung,” ujarnya.
Apurva yang diiktiraf oleh Forbes Magazine sebagai “leader and disruptor” yang berusaha memperbaiki pendekatan pengukuran GDP itu berkata, Malaysia juga secara senyap muncul sebagai pemain utama dalam ekonomi halal global.
Jelasnya, pensijilan dan piawaian halal Malaysia kini menjadi penanda aras global bagi negara-negara lain.
“Pensijilan dan piawaian Malaysia kini menjadi rujukan global. Ini satu lagi kejayaan yang sepatutnya dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Kontroversi eHati: Peguam dan doktor turut disiasat, 40 individu sudah dipanggil