AS hipokrit, kejam halang pemimpin Palestin hadiri sidang PBB

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Raja Bahrin Shah Raja Ahmad menyifatkan Amerika Syarikat (AS) sebagai hipokrit apabila menghalang visa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pergi ke New York bulan depan untuk menghadiri sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Raja Bahrin berkata, keputusan AS diterajui Donald Trump itu jelas menafikan usaha penyelesaian dua negara yang dicadangkan oleh sebahagian besar ahli PBB.

Tegasnya, ia turut bercanggah dengan hasrat banyak negara Barat seperti Britain, Perancis dan Australia untuk mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

“Tindakan ini bertentangan dengan perjanjian lama bahawa sebagai tuan rumah PBB di New York, AS tidak sepatutnya menolak visa kepada pegawai-pegawai yang menghadiri badan dunia Perhimpunan Agung PBB.

“Ini juga walaupun terdapat hubungan rapat yang lama antara AS dan Israel dengan Pihak Berkuasa Palestin (PLO) sebagai wakil rakyat Palestin,” katanya menurut kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Negara AS memberi alasan bagi keputusannya menafikan dan membatalkan visa itu dengan mengulangi dakwaan lama AS dan Israel bahawa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PA) dan PLO gagal menolak ekstremisme.

Namun, di bawah perjanjian ibu pejabat PBB 1947, AS secara amnya dikehendaki membenarkan akses diplomat asing ke PBB di New York.

Lokasi ibu pejabat PBB

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, keputusan AS itu menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian lokasi ibu pejabat PBB di New York.

Ini kerana, katanya, AS terlalu kerap menggunakan kuasa veto terhadap Resolusi PBB serta mengeluarkan pelbagai ancaman terhadap perkara yang tidak memihak kepentingannya, begitu juga dengan kepentingan sekutunya Israel.

“AS memperlakukan PBB sebagai sekadar alat tundukannya yang perlu bertindak mengikut kehendak dan kepentingannya sendiri.

“Sudah tiba masanya ibu pejabat PBB dipindahkan ke sebuah negara yang lebih neutral dengan semangat berkecuali dan keadilan yang lebih baik dalam menghadapi genosid dan pembunuhan berterusan serta kebuluran terhadap rakyat Palestin.

“Di bawah Trump, sikap serta tindakan tanpa batasan ini semakin jelas dan kejam,” ujarnya.

Raja Bahrin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, ketika Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, adalah penting untuk Malaysia menggunakan segala kuasa dan pengaruh untuk memastikan rakyat Palestin diwakili dalam UNGA pada bulan depan.

“Lebih banyak negara Barat utama berhasrat mengiktiraf penubuhan negara Palestin dan haknya untuk wujud.

“Kita tidak boleh membiarkan AS menggagalkan usaha mulia yang tertangguh lama ini.

Sehubungan itu, Raja Bahrin menggesa rakyat Malaysia hadir beramai-ramai untuk menunjukkan bantahan terhadap pendirian AS mengenai Palestin memandangkan Trump dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur juga pada Oktober depan.

“Hari ini, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sedang bermesyuarat di Copenhagen untuk menggesa sekatan terhadap Israel.

“Malaysia dan ASEAN juga wajar melakukan perkara yang sama sebelum lawatan Trump pada bulan Oktober.

“Bagi menunjukkan bantahan keras kita terhadap genosid berterusan di Gaza dan penafian AS terhadap kehadiran PA di Perhimpunan Agung PBB bulan Oktober, kita mesti menyuarakan protes dengan lantang dan jelas semasa lawatan Trump pada bulan Oktober nanti,” tegasnya.

Beliau berpendapat tindakan itu sekurang-kurangnya boleh dilakukan kerana walau sebanyak mana bantuan dan makanan dihantar ke Gaza, ia tetap dihalang dan dibiarkan rosak di sempadan Gaza, sementara ribuan kanak-kanak dan warga tua sedang meninggal dunia hasil daripada tindakan AS sebagai sekutu rapat Israel.

Untuk rekod, Israel dan AS kecewa dengan beberapa sekutu yang telah berikrar untuk mengiktiraf negara Palestin di PBB bulan depan.

Sekurang-kurangnya 147 daripada 193 negara anggota PBB sudah mengiktiraf negara Palestin yang telah lebih 75 tahun berdepan penindasan dan genosid rejim Zionis.

Rakyat Palestin kini mempunyai status pemerhati di PBB, sama seperti Holy See atau Vatican City.

BACA JUGA Sanaa diserang lagi, Israel dakwa PM dan beberapa pemimpin Yaman terbunuh