Tuduh wanita Cina: DAPSY Negeri Sembilan lapor polis
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Sembilan telah membuat laporan polis terhadap Hafez Sabri (PN-Manjoi) susulan tindakan beliau menuduh wanita Cina menerjah Sultan Perak ketika sambutan Hari Kemerdekaan.
“Tindakan sebegini mencerminkan kelemahan pihak pembangkang yang dilihat gagal menunjukkan pencapaian bermakna, sehingga terpaksa menggunakan taktik murahan untuk meraih sokongan,” kata DAPSY Negeri Sembilan dalam satu hantaran Facebook.
“DAPSY mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab tersebut. Sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, Hafez Sabri sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan serta memainkan peranan untuk menyatupadukan rakyat, bukannya menanam kebencian.
“Apa yang lebih mendukacitakan ialah tuduhan palsu itu telah tular dan dipercayai oleh sebahagian masyarakat, sehingga mencetuskan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman di media sosial.
“Perkara ini amat dikesali, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku ketika sambutan Hari Kebangsaan, iaitu detik di mana seluruh rakyat sepatutnya meraikan semangat perpaduan dan keharmonian.
Laporan tersebut di bawah seksyen 505 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Bukit Aman telah pun mengesahkan bahawa suspek seorang wanita Melayu berumur 41 tahun.