Lagi berita baik, Baucar Perlindungan Tenang 3.0 kini boleh dimanfaat
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menebus baucar bernilai RM30 bagi membiayai sebahagian kos produk insurans dan takaful mampu milik dengan jumlah premium atau sumbangan tahunan sekurang-kurangnya RM50.
Menerusi program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV3.0) dengan kerjasama industri insurans dan takaful, baucar yang disubsidi oleh Kerajaan MADANI itu boleh ditebus mulai 1 September 2025.
Kerajaan MADANI telah memperuntukkan RM60 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk menampung kos produk perlindungan di bawah PTV3.0.
Usaha bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada isi rumah berpendapatan rendah itu melengkapi inisiatif lain seperti Skim Perubatan MADANI dan PeKa B40.
Kesemua inisiatif tersebut bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial menerusi kerjasama awam–swasta yang bersasar.
Terdahulu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, memaklumkan, PTV3.0 mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat seperti termaktub dalam kerangka Ekonomi MADANI.
“Sesebuah negara hanya boleh bangkit bersama apabila setiap isi rumah mendapat perlindungan sewajarnya.
“Maka, inisiatif ini adalah untuk mengembalikan maruah dan membina ketahanan segenap lapisan masyarakat.
“Melalui PTV3.0, Kerajaan MADANI tekad untuk memperluas akses kepada semua dan semestinya keterjaminan kesihatan serta keselamatan bukanlah kemewahan yang boleh dirasai oleh sesetengah kelompok sahaja,” tambah Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan.
Selaras pendekatan Kerajaan MADANI untuk menyalurkan bantuan yang bersasar dan saksama, Kementerian Kewangan (MoF) akan melaksanakan protokol pengesahan identiti dalam PTV3.0 bagi memastikan permohonan yang sahih dan menepati
kelayakan.
Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan merujuk Soalan Lazim PTV3.0 di www.myptv.my, atau mengunjungi mana-mana ejen, pengedar, atau premis penyedia yang mengambil bahagian.
Sementara itu, senarai penuh produk yang layak boleh didapati di www.mycoverage.my.
BACA JUGA Walau pembangkang perlekeh SARA, transaksi cecah RM110 juta dalam dua hari