Ini dia status terkini pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat
Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Hasan menjelaskan bahawa kerajaan masih belum menerima apa-apa pemakluman daripada Amerika Syarikat berhubung pencalonan Nick Adams.
“Pada peringkat ini, pencalonan beberapa Duta Besar Amerika Syarikat yang baharu termasuk ke Malaysia, masih di dalam proses tapisan dalaman mereka sendiri.
“Ini termasuk proses pengesahan oleh Senat Amerika Syarikat, yang sehingga kini masih belum ditetapkan tarikh pendengaran serta pengundian.
“Apabila permohonan untuk agrément ini diterima, ia akan diteliti secara objektif oleh Kerajaan Malaysia berdasarkan penilaian yang menyeluruh dalam konteks kepentingan strategik hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat di bawah kerangka Perkongsian Komprehensif.
“Suka juga saya menyatakan bahawa pada peringkat itu, kita akan mengambil pendekatan untuk tidak membahaskan mengenai pencalonan Duta asing di khalayak umum.
“Ini adalah selaras dengan protocol diplomatik dan perundangan antarabangsa berkaitan, yang menuntut aspek kerahsiaan dalam memperhalusi pencalonan mana-mana duta asing, demi menjaga hubungan baik dengan negara berkaitan.”
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Senator Hasbie Muda di Dewan Negara.
Nick Adams merupakan calon Duta Amerika Syarikat ke Malaysia yang dicalonkan oleh Presiden Donald Trump.
Pencalonan tersebut, bagaimanapun, mendapat tentangan keras banyak pihak di Malaysia kerana pendirian Adams yang bercanggah dengan Malaysia.