Foto Anwar bersapa dengan Kim Jong Un jadi sorotan
Sekeping foto Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim saling berjabat tangan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menjadi sorotan ramai.
Pertemuan itu ketika kedua-dua pemimpin negara menyertai perarakan Hari Kemenangan China bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua, di Dataran Tiananmen, Beijing, China, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau sempat bertegur sapa dengan pemimpin tertinggi Korea Utara itu.
Pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut adalah secara kebetulan ketika mereka menghadiri perarakan memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua.
“Secara kebetulan ketemu ketua pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un yang turut hadir menyaksikan perarakan di Dataran Tian’anmen. Sempat salam dan tegur sapa,” kata Anwar.
Anwar dan Jong Un merupakan 26 orang pemimpin dunia yang menghadiri perarakan tersebut atas jemputan Presiden China, Xi Jinping.
Perdana Menteri dalam pada itu berkata, di sebalik pertunjukan aset ketenteraan yang memukau, perarakan tersebut hakikatnya adalah simbolik penentangan terhadap kezaliman, penindasan, pencerobohan, kerakusan kuasa, kolonialisme dan imperialisme yang menjadi titik hitam dalam sejarah peradaban manusia.
BACA JUGA Selepas Segamat bergegar, penduduk Sri Medan pula gempar