Hari keempat SARA berjalan lancar, rekod jualan lebih RM100 juta
Hari keempat pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar dengan jumlah jualan yang direkodkan adalah sebanyak RM117.1 juta, melibatkan 1.8 juta penerima.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, angka itu meningkat berbanding hanya RM76.8 juta oleh 1.1 juta penerima pada 2 September.
“Kadar transaksi berjaya juga meningkat kepada 99.7% berbanding dengan 95% pada 2 September 2025,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan menjelaskan, usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tiga hari lalu telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini.
Secara keseluruhan, sejak pelaksanaan Penghargaan SARA pada 31 Ogos 2025, lebih 4.8 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM312.6 juta di seluruh negara.
BACA JUGA Foto Anwar bersapa dengan Kim Jong Un jadi sorotan